Monday, October 01, 2007

Terima kasih Ayu dan Kak Maryati....

Terima kasih ayu dan kak Maryati.... atas nasihat dan ucapan yang diberikan. Maaf, saya dah cuba beberapa kali untuk reply mesej yang diberikan tapi masih tak berhasil untuk dipaparkan.

Walau apapun saya dan keluarga redha dengan segala ketentuan yang dikurniakan oleh Allah. Semoga segala cerita dan pengalaman yang diluahkan sebelum ini akan dapat memberikan sedikit info untuk kita semua.

Akhir kata selamat menjalani ibadah puasa, semoga kita dapat merebut peluang yang terbaik di malam-malam terakhir sepuluh Ramadhan ini, buatlah amal ibadat sebanyak mungkin dalam usaha mencari malam Lailatul Qadar, (malam yang memberi seribu barakah).

Buat semua kawan-kawan yang sempat singgah di blog ini saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan kesalahan jika ada... yang sudah tentunya mengguris perasaan kawan-kawan semua. sebagai penutup kata SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN...

Sunday, September 23, 2007

Kembali ke Rahmatullah hari Jumaat 9 ramadhan 1428 hijrah = 21 September 2007

Saya telah mendapat panggilan dari abang di kampung pada pagi khamis 20/9/2007 mengatakan abah telah koma dan telah dibawa ke hospital pada petang hari Rabu. Di hospital abah telah diberi rawatan, dan pada pagi hari khamis Dr. telah menjalankan pemeriksaan x-ray dan hasil dari pemeriksaan tersebut Dr. mengesahkan kanser abah telah sampai ke tahap kritikal dan telah merebak ke bahagian otak iaitu bahagian akhir bagi setiap pensakit kanser. Justeru itu pihak hospital tidak dapat meneruskan apa-apa rawatan terhadapnya dan beliau menasihatkan agar abah di bawa pulang.

Saya telah bertolak ke kampung pada petang Khamis dan dinasihatkan oleh kak Long supaya terus sahaja ke rumah sebab abah sedang diuruskan untuk dibawa pulang. Selang beberapa minit setelah saya selamat sampai di rumah ambulance yang membawa abah pun tiba..... terkejut saya lihat abah ketika itu.. kaki dan tangannya bengkak dan saya dimaklumkan dah seminggu kaki abah seperti itu. Saya cuba bisikkan kat telinga abah.... "abah" 'abah".... manalah tahu kut kut abah tersedar dengan panggilan itu... tapi semua hanya sia-sia..

Start dari situ kami mula membaca al Quran dan surah yasin di sisi abah... dan alhamdulillah selepas solat tarawih ramai jemaah masjid datang ziarah dan seterusnya membacakan surah yasin untuk abah. Bacaan yasin memang tidak putus dibacakan secara bergilir hingga kami bangkit untuk bangun sahur... Makan sahur pun secara bergilir dan tiba giliran saya untuk makan sahur lebih kurang jam 5 lebih, dan setelah saya selesai makan dan mengemas saya terdengar tangisan mak... lantas saya pergi meninjau ke katil abah.... masa tu saya rasa terkilan sangat sebab tak dapat tatap sewaktu abah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tepat jam 5:30 pagi abah meninggalkan kami. Saya yang tergamam ketika itu terus mencium abah dan terus diminta untuk talipon sedara mara untuk memaklumkan berita tersebut.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar pada hari tersebut, tanpa disangka ramai saudara-mara, sahabat handai jauh dan dan dekat, datang untuk ziarah buat kali terakhir. Melihatkan ramai yang datang memenuhi dalam dan halaman rumah dan saya dapat rasakan mungkin kebaikan abah semasa hayatnya membuatkan ramai orang mengenang jasa dan khidmat baktinya pada masyarakat sehingga ke akhir hayatnya. Kami bersyukur kepada Allah jenazah abah telah dibawa ke tanah perkuburan dalam cuaca yang agak redup seolah-olah memayungi orang ramai yang mengiringi ke tanah perkuburan.

Akhir kata saya bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang menziarah, dan memohon maaf bagi pihak abah atas segala kesilapan dan kesalahan jika ada.

SEMOGA ROHNYA DICUCURI RAHMAT... DAN DITEMPATKAN DITEMPAT YANG MULIA DISISIMU
YA ALLAH...

Wednesday, August 22, 2007

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan.....

Lama tak mencoret di blog ni.., banyak berita tentang abah sebenarnya nak dicoretkan, tapi atas sebab keadaan yang tidak mengizinkan semuanya hanya terbuku di minda sahaja. Hari ini adalah hari yang saya rasa paling sesuai untuk meluahkan segalanya disini.
Biar saya cerita satu persatu ..... kisah yang paling tidak dapat saya lupakan... segalanya terlakar pada 17 Julai 2007 bersamaan 2 Rejab 1428 H. Pada pagi 17 Julai 2007 jam 5:15 pagi saya dapat sms dari abang yang mengatakan "kalau nak nengok abah baliklah" saya cuma inform suami, tentang sms tu. Saya tak reply kerana nak siapkan diri dan anak ke sekolah., lebih kurang jam 6:30 pagi abang telefon dan memberitahu "dapat msg cik tak?" sambil saya tanya kenapa dengan abah cik? terus saya menangis semahunya... abg tenangkan saya, dia kata jangan nangis balik jer nengok. Hati saya terus tak tenang lantas saya kemaskan barang yang perlu dibawa capai mana yang patut... lebih kurang jam 7:00 pagi saya serta keluarga bertolak ke kampung.
Dalam hati ni tuhan aje yang maha mengetahui.. saya rasakan perjalanan ke kampung hari tu terasa sangat jauh hendak sampai ke destinasinya. Padahal perjalanan macam biasa jer, sepanjang perjalanan tersebut saya cuba menahan perasaan sedih dan sesekali airmata mengalir deras... manakala anak-anak pulak terdiam. Sekali-sekala suami tenangkan saya, katanya insyaallah semuanyer ok. sampai saja saya terus meluru ke dalam dan di dapati ramai saudara mara dan adik beradik semua berkumpul di sekeliling katil abah... saya peluk emak sambil menahan sebak, kemudian saya peluk dan cium pipi abah... ketika itu abah memang seperti orang nazak... mata pandang ke atas tidak bersuara cuma sekali sekala dia menyahut kalimah yang dilafazkan oleh kak ngah yang ketika tu mengajarnya mengucap.
Saya terus mengambil wuduk dan duduk di sisi abah terus membacakan surah yasin. Kami adik beradik bergilir membacakan yasin disisi abah. Memang tak putus bacaan ayat suci di bacakan di sisi abah. Hampir zohor abah mulai reda dan tertidur dan kemudian dengan izin Allah semuanya pulih seperti biasa. Abah seolah-olah tersedar dari keadaan tersebut dan mula minta air dan makanan.... tapi apa yang masuk ke perut abah tak bertahan lama (muntah semula). Kemudian abah tidur mungkin dia keletihan dan bernafas seperti biasa.
Melihatkan keadaan abah kembali normal saudara-mara dan kawan-kawan abah minta diri untuk pulang. Memang kami bersyukur sangat-sangat dengan kehadiran saudara-mara dan kawan-kawan abah di rumah, kerana doa yang dan bacaan yasin yang disedekahkan untuk abah dimakbulkan oleh Allah.
Pada keesokannya harinya keadaan abah kembali pulih, suaranya mulainya jelas walaupun agak perlahan. Saya bersyukur kehadrat Allah kerana kami sekeluarga diberikan waktu untuk bersama lagi dengan abah....
Setelah semuanya kembali normal, emak bercerita yang keadaan abah semalam tu berubah pada jam 3:00 pagi lagi setelah dia berbual tentang saudara mara dia yang telah meninggal dunia. Emak pun pelik jugak sebab abah menceritakan semua itu pada jam 3:00 pagi dia pun terpaksalah melayan sebab kesian tgk abah mungkin dia tak boleh tidur, walaupun ketika itu emak memang mengantuk. Sedang asyik bercakap tu tiba-tiba sajer suara abah makin tenggelam langsung tidak kedengaran... mulanya mak sangkakan abah dah tidur tapi bila mak bangun di dapati abah seperti pandang ke atas mulutnya seperti menuturkan sesuatu tetapi suara tak ada. Langsung mak kejutkan abang suruh tengok abah walaupun beberapa kali di tutupkan matanya namun masih lagi memandang ke atas tidak berkelip. Kalau begitu.., lama jugaklah abah berkeadaan seperti itu. Pada pendapat saya mungkin abah pada ketika menahan kesakitan, tapi tak kan lah matanya tak berkelip dan asyik memandang ke atas..
Itu semua hanya Allah yang maha Mengetahui...Itulah peristiwa yang paling tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari seolah-olah masih semalam ianya berlaku. Takut ia berulang kembali.

Wednesday, June 06, 2007

Keadaan abah semakin kritikal, sedih melihatkan beberapa perubahan pada diri abah, kalau sebelum ni abah boleh lagi duduk, tapi kali ini abah dah tak mampu untuk didudukkan, dia akan muntah jika didudukkan. Abah pun sekarang ini dah kurang makan, apa tidaknya jumlah suapan kemulutnya hanya boleh di ulang sebanyak 5 kali itupun sedikit sahaja.

Sesekali abah kelihatan menahan kesakitan, jika tidak tahan abah akan meminta ubat penahan sakit. Kak long ada beritahu doktor ada berbincang mengenai penyakit abah ni, katanya kanser abah ni memang dah berada di tahap 4 memang ada tanda-tanda yang diceritakan doktor telah nampak dilihat sekarang ni. Antaranya abah akan sentiasa merasai kesakitan tu, Doktor menasihatkan sekarang ni abah hanya diberi ubat penahan sakit yang mengandungi kekuatan sebanyak 500 jika keadaan bertambah teruk barulah ubat tersebut digantikan kepada 1000, ini adalah ubat yang terakhir yang mampu diberi oleh pihak hospital.

Suara abah pun dah tak berapa jelas, dia dapat mendengar perbualan kita tapi bila dia nak respons kita perlu dekat dengan dia. Saya gunakan masa bercuti ini sebaik-baiknya untuk merawat abah. Sebelum ini saya masih boleh tahan air mata ini tiap kali membersihkan abah, tapi kali ni, tiap kali membersihkan tubuh badan abah, hati saya rasa sayu sangat, air mata mengalir sendiri tanpa dipaksa bila abah sesekali menahan kesakitan dan menyebut "ALLAH HU AKBAR", Maka tiap kali itulah hiba sungguh hati saya. Saya rasa apa yang diceritakan oleh zulrushdi dalam blognya memang amat berguna bagi diri saya sebagai panduan untuk memahami tentang perasaan yang dialami oleh diri pesakit, tentang derita yang ditanggung dan berbagai lagi.

Selagi hayat abah ada kami adik beradik berpakat untuk menyediakan kemudahan yang terbaik untuk abah. Jadi untuk memudahkan supaya abah tak perlu untuk dialih2kan abang telah membelikan sebuah katil yang boleh digerakan( Macam katil kat hospital swasta tu). Kadang-kadang ada jugak abah menyuarakan hasrat untuk berubat secara tradisional, hasrat itu pernah ditunaikan sewaktu abah boleh lagi didudukkan, senang dibawa dengan kereta kesana kemari, tapi bila keadaan dah macam ni memang sukar untuk ditunaikan.

Tuesday, May 29, 2007

Gambar anak-anak


Saje entry gambar anak-anak ni (3 orang jer) nampak macam ramai pulak, sebabnya seronok sangat bila bos letak scanner atas meja ni. Satu lagi yang seronoknya dapat monitor "flet screen." memang menimbulkan ketidakpuasan hati dikalangan rakan-rakan yang lain pada mulanya. Tapi nak buat macam mana dah bos yang sediakan. lagipun dah nama pun unit ICT semua kena canggih ler... ye tak? ini semua diperolehi apabila unit ICT telah ditempatkan disebuah bilik yang lebih selesa daripada sebelum ni. Ada privacy sket... memang seronok sangat...

Sunday, May 27, 2007

Ikhlaskan diri menjaga abah....

Sejak kebelakangan ni perasaan amat sensitif bila berbicara tentang abah.., tak taulaaa kenapa yer... saya cuba sembunyikan perasaan sedih tu. Lagi saya cuba lawan lagi lagi kerap ia datang, secara tiba-tiba jer airmata mengalir tanpa dipaksa. Setiap hujung minggu saya akan berulang ke kampung, biarpun hanya menaiki bas, pada saya kalau balik sorang tu lebih baik naik bas biarlah anak-anak tinggal bersama ayah mereka.

Rutin saya balik kg sejak abah dah dinasihatkan oleh doktor untuk di rawat di rumah. Hari pertama saya balik kg memang terharu jugak melihat abah terbaring, saya berbual dan bertanyakan pada abah bagaimana layanan dan rawatan yang diterima sepanjang berada di hospital johor bahru. Abah kata memang tak sama dengan hospital kat melaka tu. Kat johor semuanya kena buat sendiri susah nak mintak bantuan dari jururawat. Scan dan X-ray juga telah dilakukan buat kali kedua di hospital tersebut. ternyata hasil yang diperolehi adalah sama seperti yang diperolehi oleh hospital pakar melaka. Memang geram jugalah bila abah cerita keadaan di sana ketika itu.... Tapi betul jugak kat melaka tu hospital private dan di johor pulak hospital kerajaan memang kena sabar jerlaaa.

Abah juga beritahu kaki dia dah tak boleh digerakkan dan tak rasa... sampai dia kata "kau buatlah apa pun kat kaki tu... memang dah tak ada rasa... ni lagi satu dia buang air besar pun dah tak rasa..." harap ihsan orang ler nak menolong." abah pun dah tak boleh bebas bergerak sampai nak mengiring pun minta orang palingkan... ...."entahlah nak.... sampai bila lah nak menyusahkan orang..." ...airmata saya lagi berderaian jatuh minta abah jangan cakap begitu, sakit tu kan datangnya dari Allah, itu semua ujian dariNYA. " tak ape bah anak-anak abah akan bantu abah selagi daya...minta doa semoga ALLAH memberikan kekuatan untuk sama-sama membantu abah.

Tengahari adalah masa untuk abah makan... kebetulan pulak pada ketika tu abang terpaksa pergi ke bandar Muar membeli peralatan di bengkelnya. Jadi saya telah gagahkan diri untuk cuba angkat abah ke kerusi roda, mulanya abah berjaya didudukkan di atas katil. dan sewaktu saya hendak merapatkan kerusi roda ke katil abah... secara tiba-tiba abah jatuh (terbaring) semula. Saya panggil long, barulah saya diberitahu abah tak boleh duduk lama tanpa sokongan belakang. Ya Allah abah maafkan org bah... org tak tau... abah kata tak apa nak.. terus saya cuba angkat abah semula, bila nak diangkat ke kerusi roda ternyata kudrat org perempuan tak sama dengan kudrat seorang lelaki. Mulanya angkat berdua dengan long, ternyata masih lagi tak berdaya... last sekali terpaksa panggil kakak ipar, mintak tolong angkat sama.. Alhamdulillah abah berjaya dipindahkan ke kerusi roda.

Nak disuruh abah duduk dan makan dikatil, katanya dia bosan asyik baring jer... tak apalah ikut kan juga. betul jugak kata dia kalau dah asyik terbaring sehari suntuk memang laaa bosan. Tak siapa pun akan rasa macam tu. Kira dua hari di kg memang saya jaga abah sebaiknya, salinkan lampinnya. Terharu bila dia kata "abah dah berak ni nak... kalau kau geli panggil abang..." laaa nape abah cakap macam tu... orang boleh salinkan... tanpa berlengah lagi terus saya buat operasi untuk menyalinkan pampers abah.. niat saya ikhlas nak jaga abah 2 hari bercuti ni tak timbul perasaan geli.

Thursday, May 17, 2007

Terkini berita tentang abah

Hari semalam 17 May 2007 abah telah dibawa oleh pihak hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk dirujuk semula ke hospital Daerah Muar. Setelah Doktor berbincang dengan abang dan kak long mengenai penyakit abah, antara lain sekarang ni kami diberi pilihan untuk meneruskan rawatan abah pertama masalah kanser di buah pinggang tersebut, doktor ada menerangkan jenis rawatan yang biasa diberikan kepada pesakit iaitu kaedah pembedahan (membuang kanser yang berkenaan) kedua kaedah kimoterapi. Tetapi malangnya kedua-dua kaedah tidak sesuai dengan usia abah sekarang ni. Jadi abah sekarang ini diberikan ubat sahaja.
Abang telah maklumkan kepada saya tentang keadaan abah sekarang ini, kedua-dua kakinya sudah tidak boleh digerakkan maknanya sekarang ini kedua-dua kakinya sudah tidak berfungsi. Tiub salur kencing masih lagi dipasang, dan abah juga mengalami masalah untuk membuang air besar (kini bergantung kepada cecair yang dibekalkan) Lagi bertambah....lah derita abah, saya yang mendengar pun terasa hiba, ingatkan setelah mendapatkan rawatan di hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, harapan untuk pulih tu semakin cerah... tapi qadha dan qadar dari Tuhan tak siapa yang boleh menduga. Redhalaah seadanya.
Semalam saya akhirnya dapat dengar suara ceria mak melalui telefon, dia dah sihat katanya. Tetapi masih tidak dimaklumkan mengenai berita terkini tentang abah kepadanya. Harap mak dapat terima kenyataan yang diberikan. Harapan saya semoga abah dapat pulih seperti sedia kala sukar digambarkan dengan keadaan ini, tetapi kuasa Allah tidak siapa yang tahu. Kami berserah dan bertawakkal kepadaMU Ya ALLAH.

Wednesday, May 09, 2007

Lagi sambungan cerita abah....

Abang telah dimaklumkan oleh doktor pakar putra melaka, hasil ujian pada tisu badan abah yang dibuat pad hari Jumaat yang lalu doktor mengesahkan abah telah disahkan mengidap kanser. Untuk itu doktor telah memberi pilihan sama ada nak teruskan rawatan di putra specialist atau dirujuk kepada hospital kerajaan. Setelah berbincang dengan adik beradik kami telah membuat keputusan supaya abah dirujuk kepada hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan susulan.

Pada hari sabtu 5 Mei 2007 abah telah dibawa balik ke rumah sementara menunggu hari Isnin untuk dirujuk kepada hospital daerah Muar. Walaupun saya tidak pulang ke kampung, tetapi kakak telah maklumkan kepada saya tentang keadaan abah, dia kelihatan ceria bila dapat pulang ke rumah.

Pada hari Isnin 7 Mei 2007 abah telah dibawa ke hospital daerah Muar untuk dirujuk kesnya seterusnya mendapatkan rawatan susulan disitu. Dari apa yang dimaklumkan oleh kakak, masalah yang timbul di hospital tersebut, doktor yang merawat abah, mengesyorkan supaya ujian dibuat sekali lagi terhadap abah. Katanya doktor tidak setuju hasil keputusan dan laporan yang telah dibuat oleh putra specialist Melaka. Ya Allah kadang-kadang terfikir jugak apalah bezanya... ini pulak pakar yang buat takkan dia tak boleh terima... agaknya ada percanggahan fakta kut. Di hospital Muar abah telah dipantau selama 2 hari oleh doktor yang berkenaan, dan sekali lagi kami mendapat berita... bahawa kes abah akan dirujuk ke hopital sultanah Aminah Johor Bahru.

Semalam menjadi kenyataan, saya telah mendapat berita dari kak long, dengan nada sebak long mengatakan abah akan dibawa oleh pihak hospital daerah Muar dengan diiringi oleh abang ke hospital sultanah Aminah Johor bahru. Saya yang sebak mendengar berita itu dari kak long, terus mengalirkan air mata... sambil berkata kepada long teruk sangatkan penyakit abah tu sampai hospital daerah Muar tak boleh buat dan minta dirujuk ke Johor bahru. Long mententeramkan saya dan meminta saya berdoa supaya abah segera mendapat rawatan yang terbaik. Doktor pasti tahu apa yang perlu dilakukan. Petang tu lebih kurang jam 6.00 petang saya telefon abang yang mengiringi abah ke Johor Bahru. saya yang tidak dapat mengawal perasaan ketika itu, dan bertanya kepada abang kenapa abah dirujuk ke Johor Bahru kenapa tidak di rujuk di hospital Kuala Lumpur...? saya tahu abang pun tertekan jugak ketika itu, maklumlah segalanya terpikul dan terbeban kepadanya. Dia cuma meminta saya bersabar, tunggu saja keputusan dari doktor yang merawatnya esok.

Saya pasrah dengan berita tersebut... semoga abah akan mendapat rawatan yang terbaik di sana. Cuma keadaan semakin sukar untuk kami adik beradik melawat abah dan bergilir-gilir menjaga abah di hospital.

Monday, May 07, 2007

Ya Allah berilah Kami Kekuatan mengharung ujian ini....(AMINNN)

Sambung balik cerita pasal abah.... pada hari Ahad 29 April sekali lagi saya dan anak-anak pulang ke kampung. Kali ni saya balik berempat ngan anak-anak, sebab suami terpaksa pergi ke Johor dengan kawan-kawan ada urusan yang telah di jadualkan. Jadi saya dan anak-anak keluar rumah seawal jam 8.00 pagi menuju ke Hentian Puduraya untuk mendapatkan tiket Bas ke Muar seawal yang mungkin.

Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan tiket bas jam 9.15 pagi (Hasry Ekspress). Sebelum tu saya dah dapat berita yang mengatakan abah telah dimasukkan diwad hospital pakar melaka (Putra specialist ). Mulanya ingat nak terus jer naik bas ke Melaka, memandangkan saya membawa anak-anak dan beg pakaian jadi saya ambil keputusan untuk ke Muar sahaja.

Sampai di Muar jam lebih kurang jam 12:00 tengahari, tambah terkejut pulak bila saya dapati mak pulak sakit, kakak ipar kata mak demam bila abah dibawa pergi ke hospital pakar Melaka. Abah ditahan di sana sebab masalah sukar untuk buang air kecil. Doktor memberi rawatan dengan memasukkan tiub di salur kencing bagi mengeluarkan air kencing tersebut. Terlintas jugak dalam hati, ikatan mak ngan abah ni memang amat kuat, binggung jugak dibuatnya bila melihatkan mak tak bangun, nak dibawa ke klinik dia tak mahu. Katanya biar dulu. Masa tu kak long tak tau yang mak sakit sebab dia tunggu abah di Hospital Pakar Melaka. Jadi kami yang tinggal di rumah ikutkan ajelaaa cakap mak tu dulu. Biarkan dia tanpa diberi rawatan oleh doktor. Kami bagi dia ubat panadol tu sahaja. kebetulan pulak ketika tu batuk mak menjadi-jadi hingga membawa asma. Sehari semalam tidur mak terganggu, cuma dia meminta abang ambilkan ubat di klinik yang selalu dikunjunginya dan telah sedia ada rekod penyakitnya.

Jadi abang pun menurutkan sahaja, puas jugak dia pujuk mak supaya pergi klinik supaya doktor buat rawatan dan beri ubat yang sesuai dengan penyakit mak tu. Tapi mak tetap berkeras tidak mahu pergi. Dua hari batuk mak semakin menjadi. Jadi keadaan mak kami maklumkan pada kak long, dipendekkan cerita mak ni, dia takut sket ngan long, jadi sewaktu kak long datang ke rumah mak, dia mula memaksa mak pergi bagi mendapatkan rawatan sekurang-kurangnya doktor akan syorkan ubat yang sesuai dengan penyakit mak tu.. mulanya mak berkeras dia kata sikit aje.. akhirnya dia tewas jugak dengan kak long. Saya pun apa lagi, bila long suruh ambil kan baju dan tudung mak, maknanya mak dah tak boleh membantah dan-dan tu jugak dia salin pakaian dan kenakan tudung ala kadar terus dia dibawa ke klinik.

Akhirnya mak pun diberikan rawatan, dan ubat yang sesuai. Macam-macam pulak penyakitnya tu, gastrik, demam, asma, batuk. Itu kalau di biarkan mungkin akan lagi melarat. Dugaan datang bertimpa-timpa tak terlarat rasanya. Mana nak fikir abah kat hospital melaka lagi, mak lagi..... Ya Allah berilah kami kekuatan dalam mengharungi dugaan ini... sementara hari cuti ni bolehlah kami bergilir-gilir jaga abah. Sebab abah perlukan sokongan orang lain untuk bergerak. Dia perlu orang ada disisi untuk memudahkan dia turun naik di katil hospital tu. Manakala mak pulak dia boleh bangun cuma perlu awasi takut jatuh jer. Maklumlah dengan tubuh badan yang tidak bermaya bimbang juga kalau dia ke bilik air sorang diri. Kesihatan mak semakin hari semakin baik cuma tangannya masih lagi menggigil bila memegang sesuatu. perlu juga sokongan orang lain membantu mengambil apa-apa yang diperlukan.

Doktor yang merawat abah telah menjalankan ujian dengan berbagai cara iaitu melalui X-ray, MRI scanning dan juga dari pemantuan tekanan darah dan kawalan gula dalam darah...ujian saraf semuanya diambil kira. Dan dari hasil ujian itu abah telah mengalami komplikasi dalaman, puncanya dibuah pinggang abah, kini telah melarat ke paru-paru dan tulang belakang. Berat sungguh berita tu kami terima, kami redha dan kami berpakat adik beradik supaya tidak memaklumkan perkara ni pada abah dan juga mak. Apa yang boleh kami buat, memastikan abah mendapat rawatan yang terbaik. bagi mengurang tekanan yang beliau alami. Abang telah dimaklumkan pada hari jumaat 4 Mei 2007 doktor akan mengambil sample tisu daging di badan abah untuk dibuat kajian iaitu dengan membuat sedikit minor operation (kaedah endoscopy).

Cuti selama 5 hari dikampung masih tidak mencukupi untuk merawat mak dan abah yang terlantar sakit. Saya mengambil keputusan untuk berulang ke kampung setiap hujung minggu. Hasrat ini saya suarakan kepada suami, maklumlah kena juga minta izin dulu dari dia. Alhamdulillah setakat ini beliau amat memahami keadaan keperluan keluarga saya, akhirnya dia bersetuju untuk membenarkan saya menghabiskan cuti hujung minggu di kampung.

Friday, April 27, 2007

kena tagggggggg......

amboiii tak pernah-pernah kena tag.. ni, terkejut jugak ni... tak apalah cuba yer... oleh kerana diizinkan agar boleh berbahasa melayu.. accept ler jugakk.

Layer One: On the Outside
Name: kent. (nama tu ler bila org sebut kat opis) nama penuh .. yang dah mengenali tu tau ler...
Birthdate: 25 Julai, 1973
Current status: Berkahwin
Eye color: hitam ler
Hair Color: hitam juga.. lum ada lagi uban atau apa2 spesis warna rambut
osoRighty or Lefty: sama macam u ler...

Layer Two: On the Inside
My heritage: Jawa ler... tapi dah moden sket sebab dah tak pandai dialek jawa..
My fears: takut gemuk ler
My Weaknesses: nasi ler.. kalau tak makan nasi lemah longlai lah satu badan.(iyerlah anak jawa) My perfect pizza: Ish tak gemor sangat sebab mahal sangat ler.. kalau bagi free apa-apa pun boleh ler...

Layer Three: Yesterday, Today, TomorrowMy thoughts first thing when
I wake up: kena cari cermin mata dulu, sebab senang nak nengok jam.
My bedtime: selalunya jam 10.00 ler dah tido, mata tak tahan berjaga lama-lama sangat.
My most missed memory: banyak sangat memori...

Layer Four: My picks
Pepsi or Coke: kalau diberi pilihan saya akan memilih pepsi, tapi tak suka sangat sebenarnya
Mc Donald's or Burger King: Mc Donald's ler.... burger king pernah sekali jer tu pun masa kat unitar
Single or Group Dates: saya suka ramai-ramai, seronok ler boleh berkongsi idea
Adidas or Nike : tak pernah pakai jenama ni..
Tea or Nestea: mintak maaf ler kedua-dua nyer kureng sket sebab perut dah tua... angin takut kembung perut.
Chocolate or Vanilla: Vanilla
Cappucino or Coffee: kopi muo cap 434

Layer Five: Do I
Smoke: mana pernah beb
Curse: tak pernah lah menyumpah seranah ni.
Take a shower: selalunyer 2 hari sekali,
Have a crush: tak der ler sangat....
Think I've Been In love: lama dah
Go to school: pernah ler kalau tak tak jadi orang macam ni...
Want to get married: dah kawin dah pun
Believe in myself: mestilah percaya pada diri sendiri, kalau tak mana datang semangat pada diri. Think I'm a health freak: takkk

Layer Six: In the past month
Drank alcohol: mana lerrr dah tentu benda tu haram.. termasuk salah satu dosa besar.. tuuh
Gone to the mall: sekali sekala jer...
Been on stage: setakat ni ada dua kali sebab tukang tekan loceng pertandingan perbahasan.
Eaten Sushi:tak minat pun
Dyed your hair: tak pernah..

Layer Seven: Have I ever
Played a stripping game: tak minat sangat
Changed who I am to fit in: entah ler
Scary but fun at the same time... haha. Wished I had the job for real, though.

Layer Eight: Age
I am hoping to be married: dah kawin dah pun... masa tu umur 23 tahun

Layer Nine: What was I doing
1 min ago: tengah buat keje ler... kat opis kan..
1 hour ago: Keje jugak
4.5 hours ago: rehat, makan tengahari
month ago: jadi tokeh prepaid
1 year ago: dapat kenaikan gaji

Layer Ten: Finish The Sentence
I love: betul tu... cuti ler masa yang paling seronok habiskan masa dengan anak-anak kat rumah.
I feel: sedih bila hasrat belum lagi tertunai..
I hate: bila kena catat minit mesyuarat...
I hide: oooo kalau main sorok-sorok ngan anak-anak ler..
I need: susah tentu, duit ler.. dengan duit dapat merubah hidup kita..

setakat ni tu ajerlaaa yang mampu di buat... harap berpuas hati yer...

Berita dari kampung....

Berdegup jantung bila mendapat berita dari kampung yang mengatakan abah sakit... saya hanya mampu mengucap panjang.. terkelu lidah untuk berkata-kata. Sebelum ini abah sihat, payah sekali melihat abah terbaring walaupun ketika itu dia demam atau sakit yang sebelum ni seperti sekarang.
Pada tengahari hari selasa 24 april 2007, saya telah mendapat panggilan dari mak, memberitahu abah sakit dah tak boleh jalan... saya tanya kenapa..? abah ada terpijak apa-apa ker? mak kata tak ada pun, pagi tu abang dah bawa dia ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Tapi doktor kata tak ada apa-apa, lantas saya minta izin dengan mak untuk bercakap dengan abah. Tapi dari riak suara abah tu, saya tau dia menyembunyikan perasaan dia, dia tak mau anak-anak susah hati. saya tanya abah.. abah sakit macam mana..? dia kata tak ada apa-apalah nak.. kaki jer tak larat nak angkat. mulut ok, anak tekak geli... ! saya tau dia tak mau anak-anak risau tentang perasaan dia ketika itu.
Hati mana yang tak tenteram bila dapat tau berita itu, sebelum ni abah ok elok ceria, jarang sangat dengar dia sakit terus tak boleh jalan... akhirnya saya ambil keputusan untuk menjenguk abah, tak puas hati kalau tak lihat sendiri bagaimana keadaan dia. Petang hari Rabu tu, saya pulang ke kampung menaiki bas dengan anak yang no 3. Minta suami hantar ke Puduraya, manakala anak-anak yang dua orang lagi biar dia ngan ayah sebab mereka pun masih kat sekolah lagi. Itupun tawakal aje kalau tiket bas habis, saya usaha cara lain.
Akhirnya dengan izin Allah saya dapat tiket jam 9:30 malam. dan berkampung lah saya dengan anak yang no 3 tu di Puduraya. Jenuh jugalah menunggu kat situ dari jam 6:30 petang hingga jam 9:30 malam. tak perlah, kemudian saya suruh ayahnya balik tak payah tunggu sampai naik bas, sebab anak kat rumah tu tinggal.
Dipendekkan cerita, akhirnya saya sampai di muar pada jam 11:30 malam, minta abang ambil kat stesen bas. Memang saya tak beritahu mak dan abah yang saya akan balik pada hari tersebut. Sampai saja di rumah abang minta mak buka pintu, biasalah mak agak sedikit terkejut melihat saya di muka pintu. Tanpa membuang masa saya terus peluk mak dan berderailah airmata kami berdua. Kemudian saya mendekati ke katil abah, ketika itu abah tersedar dari tidur, saya salam tangan abah dan cium dahinya. Sedih saya melihat abah ketika itu, mulanya abah bising juga sebab menyusahkan saya balik sorang dengan anak kecil ditengah malam. Pas tu anak-anak yang dua orang lagi...tinggal di rumah... memang satu malam tu abah tak nyenyak tidur. Kerap juga dia bangun untuk buang air kecil, katanya macam tak puas jer.... kasihan melihatkannya. Alhamdulillah kami adik beradik berpakat untuk membelikan abah alat penyokong untuk berjalan(tongkat), dan juga tempat duduk bekas untuk buang air. Jadi tak lah susah abah nak berulang ke tandas.
Memandangkan cuti cuma sehari, anak pun perlu bersekolah, saya terpaksa pulang ke KL, kecewa pun ada sebab tak puas jaga abah. walaupun berat nak pulang ke KL, saya berjanji ngan mak ngan abah akan pulang ke kg pada cuti am (cuti hari buruh dan hari wesak) yang akan datang.... insyaAllah...!

Sunday, April 15, 2007

Kembali setelah 15 hari menghilang....

Syukur Alhamdulillah, Nazrin (Yin) telah kembali kepangkuan keluarganya.... masa mula terdengar berita penemuan Yin melalui Berita TV hati saya mula berdebar... memikirkan bagaimana keadaan kanak-kanak itu ketika dia ditemui. Setelah wajah Yin disiarkan barulah saya merasa lega melihat wajah ceria Yin di dalam pelukan bapanya.

Terlintas juga difikiran pada mulanya.... kenapa pula rambutnya di cukur sehingga botak.... dan jika dia diselamatkan oleh keluarga tersebut.., kenapa baru sekarang dia dikembalikan.. sedangkan berita kehilangan anak tersebut telah disiarkan melalui berita TV dan juga di akhbar tempatan serta gambarnya telah diedarkan disekitar lembah klang. Jika benar pasangan tersebut menjumpai kanak-kanak tersebut kenapa mereka tidak menyerahkannya di balai polis berhampiran.

Saya tidak nafikan niat suci pasangan tersebut kasihan melihat anak-anak itu melintas jalan bersendirian dan terus mengambil anak itu untuk dibawa pulang kerumahnya. Tidakkah mereka terfikir, bagaimana nak menanggung anak orang sedangkan tanggungan yang sedia ada itupun masih kekurangan... banyak persoalan yang bermain difikiran kita mengenai keadaan ini.

Walaupun bapa Yin berjanji tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap sesiapa yang mengambil anak tersebut.. Tetapi siasatan lanjut perlu dilakukan bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang kepada orang lain. Ini sedikit sebanyak akan memberi sedikit pengajaran kepada seluruh masyarakat di Malaysia supaya lebih berhati-hati jika perkara ini berlaku.
sehingga sekarang ini saya masih menunggu perkembangan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa..

Monday, April 09, 2007

Anak hilang...?

Berita kehilangan seorang anak di pusat membeli belah telah mengemparkan seluruh masyarakat Malaysia. Perasaan siapa yang tak dihantui kebimbangan bila mengenangkan anak yang baru berusia 5 tahun itu hilang dari kawalan keluarga mereka. Bagaimana hari-hari yang dilaluinya. Dari segi makan minumnya, keselamatannya. Jika benar ada insan yang menjaga syukur Alhamdulillah tapi bagaimana jika dia masih berseorangan mencari arah untuk kembali kepangkuan keluarganya.
Bayangkanlah sudah seminggu kanak-kanak ini hilang, tanda-tanda menjejakinya juga masih lagi gagal. Ikhtiar yang dilakukan oleh insan yang tampil membantu telah membuktikan kerperihatinan masyarakat Malaysia. Di sini saya rasa amat kagum dengan kerjasama yang diberikan oleh mereka yang berusaha untuk menjejaki adik Nazrin.
Sebenarnya peristiwa ini sendiri telah membuatkan saya bimbang untuk membawa anak-anak ke pusat membeli belah atau bersiar-siar ditempat yang sesak seperti itu. Sebelum ini pun Sogo adalah tempat yang kerap juga saya kunjungi bila membawa anak-anak berjalan-jalan. Maklumlah kemudahan yang sedia ada mendorong saya untuk membeli belah disitu. Lebih-lebih lagi kalau time sale...
pernah sekali saya bawa anak-anak untuk membeli-belah di situ sewaktu sale di bulan puasa pada tahun 2003. Pada masa tu orang memang laaa ramai, jadi untuk memberi keselesaan saya memilih pakaian untuk anak-anak, saya telah mengarahkan ketiga-tiganya duduk di tempat permainan kanak-kanak yang disediakan. Mereka saya tinggalkan disitu sementara saya memilih pakaian, tiba-tiba hati saya macam ada rasa sesuatu yang tak kena. lalu saya pun terus ke tempat permainan tersebut dan saya dapati ketiga-tiga mereka tidak berada disitu.. Ya Allah saya menjadi panik seketika dan terus meletakkan barang yang telah saya pilih lantas menyusur laluan yang telah saya lalui bersama mereka sebelum ini. Dicelah-celah orang ramai yang bersesak itu saya memohon doa supaya saya dapat berjumpa dengan anak-anak saya semula. Akhirnya saya nampak kelibat ketiga-tiga mereka, barulah puas hati saya. Hasrat untuk membeli pakaian tadi saya lupakan, terus saya bawa ketiga-tiga mereka keluar dari situ.
Itu sebabnya anak-anak perlu pengawasan setiap masa terutama di tempat awam seperti itu. Kebarangkalian untuk terjadi sesuatu yang tidak diingini tu terbuka luas tanpa pengawasan rapi dari ahli keluarga. Sehingga sekarang pun saya bimbang sangat untuk membawa anak-anak ke tempat bersesak seperti itu.

Thursday, March 15, 2007

Terkenang kampung halaman....

Sejak kebelakangan selalu sangat terkenangkan suasana dikampung..

Tak taulaaa mungkin dah lama tak balik ziarah emak ngan abah... tetiba aje perasaan tu datang. Mana tidaknya bila difikirkan semula .. susahnya bila tak pandai memandu ni. Nak bergerak sana sini pun nak tunggu suami.(itulaa disuruh belajar dan ambil lesen memandu memacam alasan..) Inilaaa padahnya. nak balik ngan anak-anak naik bas suami tak izinkan, katanya bimbang nak lepaskan saya dengan tiga orang anak bersesak hentian pudu raya tu.. dia nak hantar pun ... dah terikat ngan jadual kerja..
Rindunya nak menjejakkan kaki di kampung memang dah tahap maksima ni... boleh sapu sampah kat halaman rumah dan bakar daun-daun kering.. pas tu dikumpulkan semua daun kering tu untuk dibakar.. suka sangat bau asapnya..... bila laman bersih tu rasa macam puas hati sangat.. sejuk mata memandang... eiiiii rindunyaaa. Pas tu pulak dapat makan masakan emak, terutamanya sambal belacan, pas tu gulai pucuk ubi, ikan masam asam pedas.... mak oiii cukup menyelerakan... makkkk bila boleh balik ni... kalau dulu anak tak sekolah tak terikat sangat macam ni. bila anak cuti pulak... dah ayahnya pulak keje.... bila kesudahannya... ishhhh tak boleh jadi ni.. dah nak masuk bulan April ni.... lama beno... tak balik. Maknanya dah 4 bulan tak ziarah emak ngan abah.. cuma berhubung melalui telefon jer.. itupun tak puas rasanya...

Anak-anak pun sebenarnya dah menyuarakan .. dah lama tak jumpa mak atuk ngan tuk abah...dah lama tak balik kampung...! ............Tak apelah nanti satu hari kita akan balik juga.. tunggu masa yang sesuai kalau ayah masih busy jugak nampaknya umi kena pujuk ayah dan yakinkan dia agar kita berempat boleh naik bas... Yakinn bolehhhh......


Wednesday, March 14, 2007

Coretan 1

Punyalaaa lama tak menjengah kat blog ni, hampir-hampir terlupa kata laluan sendiri. Rasanya banyak cerita nak dicoretkan untuk tatapan diri sendiri khususnya. ini macam cerita Flashback ler jugak..

Pada penghujung bulan Februari yang lalu anak saya yang sulung telah mengalami kesakitan dibahagian tangan kanannya (kesakitan yang akan berulang bila mana tangan tersebut terlebih aktif). Sebenarnya anak saya yang sulung ni (kakak panggilan manjanya) mengalami sejenis penyakit apa yang diistilahkan oleh doktor pakar ("hemygioma " - tak pastilah ejaannya) iaitu sejenis penyakit yang berkaitan dengan urat darah. Kes beliau ini telah dirujuk kepada doktor pakar tangan dan mikrosurgeri dihospital Selayang.

Sebenarnya tangan kakak ni seperti kanak-kanak lain jugak boleh membuat aktiviti seperti biasa. cuma apabila terlalu aktif, tangan beliau akan menjadi bengkak dan sampai satu tahap dia akan berasa sakit, kerana mengikut kata doktor apabila pergerakan tangan itu terlalu aktif darah yang turun itu akan mengambil masa untuk naik semula. Ini kerana urat darah beliau terlalu banyak dan kedudukannya tidak normal seperti org lain. Apabila ini berlaku tangan beliau terutamanya dari bahagian lengan hingga ke pergelangan tangan akan membengkak dan menjadi besar sedikit berbanding dengan tangan kiri. Jika keadaan ini berlaku beliau akan menangis kesakitan dan keseluruhan tangan dibahagian tersebut akan menjadi panas dan tegang, sehingga ke satu tahap tak boleh disentuh. Hhati ibu mana yang tak tersentuh bilamana anak menanggung kesakitan ketika itu. Rasanya biarlah kesakitan tersebut berpindah kepada saya kerana tidak sanggup melihat anak menangis menanggung kesakitan

Untuk itu saya telah memaklumkan kepada pihak hospital tentang keadaan yang dialami. Dan saya telah dinasihatkan supaya membawa anak ke hospital pada keesokkan harinya. Bila bertemu dengan doktor pakar kakak telah dinasihatkan untuk memakai semula sarung tangan yang akan disediakan oleh pihak hospital yang bertujuan untuk mengawal pembesaran tangan beliau. Setelah mendapat penjelasan dari doktor pakar, saya telah meminta doktor untuk membuat surat pengesahan penyakit yang dialaminya.Tujuannya adalah untuk diserahkan kepada pihak sekolah supaya anak saya dapat diberi pelepasan atau pengecualian dari melibatkan diri dalam aktiviti yang boleh mencederakan tangan beliau ketika di sekolah. Dan doktor telah memaklumkan kepada pegawai yang bertugas pada ketika itu untuk menyediakan satu surat kepada saya. dan pegawai tersebut memberi arahan supaya saya berjumpa beliau semula setelah selesai proses membuat sarung tangan tersebut.

Jadi saya sanggup berada di hospital tersebut sejak dari jam 8:30 pagi hingga proses membuat sarung tangan tersebut selesai. Apabila selesai semuanya saya pun pergi semula ke tempat yang pertama saya masuk dan memaklumkan kepada jururawat bertugas untuk mengambil surat seperti yang dimaklumkan oleh pegawai perubatan tadi. Apa yang dikesalkan jururawat yang berlagak sombong memaklumkan kepada saya doktor tengah sibuk sekarang ni , surat tidak dapat disediakan dan dia meminta nombor telefon saya untuk dihubungi apabila surat tersebut telah siap kelak.....! Saya mengucap panjang di dalam hati (ASTAGHFIRULLAH...! apalah yang susah sangat nak buat surat sebaris tu pun nak suruh saya datang berulang kali .. ingat saya ni tak keje ker... saya jugak buat keraskan hati meminta dan mendesak jururawat tersebut dengan mengatakan pegawai perubatan yang menyuruh saya jumpa beliau setelah selesai membuat sarung tangan.

Cuba bayangkan saya sanggup bersusah payah ambil cuti, keluar rumah dari pagi jam 7.00 pagi tunggu bas lagi dan sanggup menunggu hingga proses membuat sarung tangan selesai iaitu hampir ke jam 12:30 tengahari tiba-tiba part meminta surat pengesahan pulak yang sangkut.. adussss sapelaaa yang tak geram. Setelah berkompromi dengan jururawat tersebut dan demi mempertahankan prinsip saya, janji mesti ditepati. Saya sanggup tunggu sini biarlah satu hari pun. Akhirnya dia berusaha juga mencari pegawai perubatan tersebut. Barulah saya diarahkan pergi ke wad jumpa dengan officer kat situ untuk mendapatkan surat seperti yang dimaklumkan. Officer tu siap kata lagi, "simple jer surat tu puan, cuma saya tak dimaklumkan untuk menyediakannya." Ishhhh sape nak persalahkan dalam hal ini, Jururawat atau pegawai perubatan? Bila banyak sangat kerenah birokrasi inilah jadinya. Yang jadi mangsa adalah orang awam.

Dari situ saya telah menimba satu pengalaman baru dan saya pulak tak sangka bila mana saya telah menjadi seorang yang berani, sabar dan tegas bagi mempertahankan hak saya. Sebelum ni selalunya saya akan mengalah bila orang buat mudah jer dengan saya. Tapi kali ini saya tidak berganjak didepan kaunter dan bercakap dengan nada yang cukup perlahan walaupun ditinggikan suara oleh jururawat yang bertugas, Walaupun rintangan yang datang hadapilah semuanya dengan penuh sabar dan berhemah. Itulah kata pepatah Berani kerana benar... takut kerana salah... jadinya fikir-fikirkanlah..jangan biarkan diri kita ditindas dan diperkotak katikkan...