Wednesday, June 06, 2007

Keadaan abah semakin kritikal, sedih melihatkan beberapa perubahan pada diri abah, kalau sebelum ni abah boleh lagi duduk, tapi kali ini abah dah tak mampu untuk didudukkan, dia akan muntah jika didudukkan. Abah pun sekarang ini dah kurang makan, apa tidaknya jumlah suapan kemulutnya hanya boleh di ulang sebanyak 5 kali itupun sedikit sahaja.

Sesekali abah kelihatan menahan kesakitan, jika tidak tahan abah akan meminta ubat penahan sakit. Kak long ada beritahu doktor ada berbincang mengenai penyakit abah ni, katanya kanser abah ni memang dah berada di tahap 4 memang ada tanda-tanda yang diceritakan doktor telah nampak dilihat sekarang ni. Antaranya abah akan sentiasa merasai kesakitan tu, Doktor menasihatkan sekarang ni abah hanya diberi ubat penahan sakit yang mengandungi kekuatan sebanyak 500 jika keadaan bertambah teruk barulah ubat tersebut digantikan kepada 1000, ini adalah ubat yang terakhir yang mampu diberi oleh pihak hospital.

Suara abah pun dah tak berapa jelas, dia dapat mendengar perbualan kita tapi bila dia nak respons kita perlu dekat dengan dia. Saya gunakan masa bercuti ini sebaik-baiknya untuk merawat abah. Sebelum ini saya masih boleh tahan air mata ini tiap kali membersihkan abah, tapi kali ni, tiap kali membersihkan tubuh badan abah, hati saya rasa sayu sangat, air mata mengalir sendiri tanpa dipaksa bila abah sesekali menahan kesakitan dan menyebut "ALLAH HU AKBAR", Maka tiap kali itulah hiba sungguh hati saya. Saya rasa apa yang diceritakan oleh zulrushdi dalam blognya memang amat berguna bagi diri saya sebagai panduan untuk memahami tentang perasaan yang dialami oleh diri pesakit, tentang derita yang ditanggung dan berbagai lagi.

Selagi hayat abah ada kami adik beradik berpakat untuk menyediakan kemudahan yang terbaik untuk abah. Jadi untuk memudahkan supaya abah tak perlu untuk dialih2kan abang telah membelikan sebuah katil yang boleh digerakan( Macam katil kat hospital swasta tu). Kadang-kadang ada jugak abah menyuarakan hasrat untuk berubat secara tradisional, hasrat itu pernah ditunaikan sewaktu abah boleh lagi didudukkan, senang dibawa dengan kereta kesana kemari, tapi bila keadaan dah macam ni memang sukar untuk ditunaikan.