Sunday, September 23, 2007

Kembali ke Rahmatullah hari Jumaat 9 ramadhan 1428 hijrah = 21 September 2007

Saya telah mendapat panggilan dari abang di kampung pada pagi khamis 20/9/2007 mengatakan abah telah koma dan telah dibawa ke hospital pada petang hari Rabu. Di hospital abah telah diberi rawatan, dan pada pagi hari khamis Dr. telah menjalankan pemeriksaan x-ray dan hasil dari pemeriksaan tersebut Dr. mengesahkan kanser abah telah sampai ke tahap kritikal dan telah merebak ke bahagian otak iaitu bahagian akhir bagi setiap pensakit kanser. Justeru itu pihak hospital tidak dapat meneruskan apa-apa rawatan terhadapnya dan beliau menasihatkan agar abah di bawa pulang.

Saya telah bertolak ke kampung pada petang Khamis dan dinasihatkan oleh kak Long supaya terus sahaja ke rumah sebab abah sedang diuruskan untuk dibawa pulang. Selang beberapa minit setelah saya selamat sampai di rumah ambulance yang membawa abah pun tiba..... terkejut saya lihat abah ketika itu.. kaki dan tangannya bengkak dan saya dimaklumkan dah seminggu kaki abah seperti itu. Saya cuba bisikkan kat telinga abah.... "abah" 'abah".... manalah tahu kut kut abah tersedar dengan panggilan itu... tapi semua hanya sia-sia..

Start dari situ kami mula membaca al Quran dan surah yasin di sisi abah... dan alhamdulillah selepas solat tarawih ramai jemaah masjid datang ziarah dan seterusnya membacakan surah yasin untuk abah. Bacaan yasin memang tidak putus dibacakan secara bergilir hingga kami bangkit untuk bangun sahur... Makan sahur pun secara bergilir dan tiba giliran saya untuk makan sahur lebih kurang jam 5 lebih, dan setelah saya selesai makan dan mengemas saya terdengar tangisan mak... lantas saya pergi meninjau ke katil abah.... masa tu saya rasa terkilan sangat sebab tak dapat tatap sewaktu abah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Tepat jam 5:30 pagi abah meninggalkan kami. Saya yang tergamam ketika itu terus mencium abah dan terus diminta untuk talipon sedara mara untuk memaklumkan berita tersebut.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar pada hari tersebut, tanpa disangka ramai saudara-mara, sahabat handai jauh dan dan dekat, datang untuk ziarah buat kali terakhir. Melihatkan ramai yang datang memenuhi dalam dan halaman rumah dan saya dapat rasakan mungkin kebaikan abah semasa hayatnya membuatkan ramai orang mengenang jasa dan khidmat baktinya pada masyarakat sehingga ke akhir hayatnya. Kami bersyukur kepada Allah jenazah abah telah dibawa ke tanah perkuburan dalam cuaca yang agak redup seolah-olah memayungi orang ramai yang mengiringi ke tanah perkuburan.

Akhir kata saya bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang menziarah, dan memohon maaf bagi pihak abah atas segala kesilapan dan kesalahan jika ada.

SEMOGA ROHNYA DICUCURI RAHMAT... DAN DITEMPATKAN DITEMPAT YANG MULIA DISISIMU
YA ALLAH...