Wednesday, May 09, 2007

Lagi sambungan cerita abah....

Abang telah dimaklumkan oleh doktor pakar putra melaka, hasil ujian pada tisu badan abah yang dibuat pad hari Jumaat yang lalu doktor mengesahkan abah telah disahkan mengidap kanser. Untuk itu doktor telah memberi pilihan sama ada nak teruskan rawatan di putra specialist atau dirujuk kepada hospital kerajaan. Setelah berbincang dengan adik beradik kami telah membuat keputusan supaya abah dirujuk kepada hospital kerajaan bagi mendapatkan rawatan susulan.

Pada hari sabtu 5 Mei 2007 abah telah dibawa balik ke rumah sementara menunggu hari Isnin untuk dirujuk kepada hospital daerah Muar. Walaupun saya tidak pulang ke kampung, tetapi kakak telah maklumkan kepada saya tentang keadaan abah, dia kelihatan ceria bila dapat pulang ke rumah.

Pada hari Isnin 7 Mei 2007 abah telah dibawa ke hospital daerah Muar untuk dirujuk kesnya seterusnya mendapatkan rawatan susulan disitu. Dari apa yang dimaklumkan oleh kakak, masalah yang timbul di hospital tersebut, doktor yang merawat abah, mengesyorkan supaya ujian dibuat sekali lagi terhadap abah. Katanya doktor tidak setuju hasil keputusan dan laporan yang telah dibuat oleh putra specialist Melaka. Ya Allah kadang-kadang terfikir jugak apalah bezanya... ini pulak pakar yang buat takkan dia tak boleh terima... agaknya ada percanggahan fakta kut. Di hospital Muar abah telah dipantau selama 2 hari oleh doktor yang berkenaan, dan sekali lagi kami mendapat berita... bahawa kes abah akan dirujuk ke hopital sultanah Aminah Johor Bahru.

Semalam menjadi kenyataan, saya telah mendapat berita dari kak long, dengan nada sebak long mengatakan abah akan dibawa oleh pihak hospital daerah Muar dengan diiringi oleh abang ke hospital sultanah Aminah Johor bahru. Saya yang sebak mendengar berita itu dari kak long, terus mengalirkan air mata... sambil berkata kepada long teruk sangatkan penyakit abah tu sampai hospital daerah Muar tak boleh buat dan minta dirujuk ke Johor bahru. Long mententeramkan saya dan meminta saya berdoa supaya abah segera mendapat rawatan yang terbaik. Doktor pasti tahu apa yang perlu dilakukan. Petang tu lebih kurang jam 6.00 petang saya telefon abang yang mengiringi abah ke Johor Bahru. saya yang tidak dapat mengawal perasaan ketika itu, dan bertanya kepada abang kenapa abah dirujuk ke Johor Bahru kenapa tidak di rujuk di hospital Kuala Lumpur...? saya tahu abang pun tertekan jugak ketika itu, maklumlah segalanya terpikul dan terbeban kepadanya. Dia cuma meminta saya bersabar, tunggu saja keputusan dari doktor yang merawatnya esok.

Saya pasrah dengan berita tersebut... semoga abah akan mendapat rawatan yang terbaik di sana. Cuma keadaan semakin sukar untuk kami adik beradik melawat abah dan bergilir-gilir menjaga abah di hospital.

No comments: