Tuesday, October 31, 2006

Catatan - beraya di Kelantan

Alhamdulillah...! hari ni dah mula bertugas setelah bercuti selama seminggu. Seronoknyer bercuti.. rasa malas pulak nak masuk keje. Anak-anak pun merungut bila diberitahu "esok umi dah mula keje". Adik pulak siap .. mengeluh "alaaaaa cuti laaa umi.. ishh mana boleh cam tu... kalau selalu sangat bercuti nanti sape nak bagi gaji".

Walau apa pun keadaannya cuti raya yang lalu telah meninggalkan seribu kenangan suka dan duka. Berikut di coretkan sedikit catatan perjalanan dan pengalaman kami beraya di kampung (kelantan). Kami sekeluarga memulakan perjalanan pulang ke Kelantan pada hari Ahad lebih kurang jam 1:30 petang keadaan cuaca pada hari tersebut mendung dan sesekali gerimis. Setibanya kami melepasi sempadan gua musang hujan turun dengan lebatnya dan Alhamdulillah perjalanan dapat diteruskan walaupun pemanduan dalam keadaan perlahan. Kami sekeluarga telah berhenti si sebuah gerai di felda Chiku untuk berbuka puasa. Hujan masih turun dengan lebatnya sambil kami menikmati hidangan berbuka puasa. Selesai suami menunaikan solat maghrib kami meneruskan perjalanan dan hampir jam 10:30 malam kami sekeluarga selamat sampai. Sesampainya kami dirumah, mak mertua tengah sibuk membungkus pulut untuk di buat tapai. Oleh kerana anak yang kecil pulak buat hal mungkin sebab terlalu letih langsung saya pun tidurkan dia dan dengan saya sekali tidur hilang kisah nak tolong ibu mertua ku membungkus tapai.

Pada kesokkan harinya saya dan suami sejak awal lagi lebih kurang jam 7:00 pagi telah pergi ke pasar Pasir Puteh untuk membeli barang keperluan Dapur. Maklumlah balik sekali sekala kenalah gi membeli belah barang keperluan mana yang difikirkan sesuai untuk seisi keluarga. Lama jugalah saya di pekan pasir puteh tu maklumlah dari jam 7:00 pagi sampai jam 11:00 pagi baru balik. Tapi umat manusia punyalahhh ramai, sehinggakan nak park kereta pun payah pas tu yang peliknya ceruk mana kedai emas pun punyalah ramai manusia. kadang-kadang terfikir juga dalam hati banyak betul duit orang kelantan ni agaknya yaaa.. sampai kat kedai emas pun penuh sesak ngan manusia. Petang tu pulak aktiviti menyediakan ketupat palas pun bermula mak mertua sibuk menyediakan pulut sehinggalah ke proses membungkus ketupat tersebut. Saya juga mengambil peluang untuk belajar membungkus ketupat palas style Kelantan.

Malam raya kalau kat rumah mertua ni kurang sket meriahnyer dari segi aktiviti memasak di dapur maklumlah juadah seperti ketupat dah siap dibungkus sejak petang lagi, memang berbeza jugalah dengan sebelah johor malam raya penuh ngan aktiviti menyediakan juadah untuk esoknyer, seperti isi beras dalam kelongsong ketupat dan masak rendang kira proses kemeriahan berakhir hampir jam 1 atau 2 pagi.. baru meriah beb..untuk mengelakkan dari rasa bosan dan kurang kemeriahan nyer saya pun buat-buat menyibukkan diri di dapur seperti menyediakan rendang daging. Maklumlah perut saya ni memang tak tahan ngan bahan makanan dari pulut ni.. so nak tak nak terpaksalah bikin sendiri. so menu saya untuk pagi raya adalah nasi putih rendang daging dan sambal jawa.. walau nampak simple tapi bagi keluarga mertua juadah tersebut dianggap special laaa jugak.

Pada hari raya pertama biasalah mereka semua pergi sembahyang sunat Hari raya, balik dari masjid mereka pergi menziarahi pusara bapa mertua dan ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah. Saya tak dapat menyertai mereka, rasa macam tak seronok pulak maklumlah penyakit org perempuan. kira satu hari raya jadual ziarah rumah saudara mara pun padat laaa jugak sampai ke petang. Dan yang menarik perhatian saya adalah sikap bermurah hati mak mertua saya walaupun kanak-kanak melintas di hadapan rumah, akan dipanggilnya untuk disedekahkan duit raya. Walaupun agak pelik jugak tapi kalau dikaji balik amalan bersedekah ni bagus jugak, kemesraan kanak-kanak di kampung tersebut dengan mak mertua jelas kelihatan. Walaupun mak mertua bukan dikalangan org yang berada tapi boleh dikatakan rezeki beliau murah mungkin sifat beliau yang gemar bersedekah inilah menjadikan rezeki tu bertambah. Aminnn...!!

Oleh kerana puas beraya dan menjamah hidangan yang beranika jenis dan rupa maka biasalah perut ni pulak meragam. Kiranya pada hari raya kedua terperap ajerlah saya kat rumah.. dan berlanjutan hingga hari raya ketiga. Keluarga semua beraya di Bukit payung tinggal lah saya ngan anak adik ipar yang berusia 5 bulan di rumah. Perasaan dalam hati tu tuhan ajerlah yang tahu, takut ada maklumlah rumah kampung biasalah bila dah sunyi tak ada orang macam-macam bunyi yang terdengar, bunyi biji getah jatuh atas bumbung bunyi unggas lah ishhh memang menguji sungguh laaa hari tu. Tapi nasib baik jugalah mereka tu semua balik awal dibuatnya balik hingga ke malam jenuh jugalah menahan perasaan takut tu..

Pada hari jumaat iaitu pada hari raya keempat kami pun berkemas untuk pulang ke Kuala lumpur, dan akan singgah sebentar di rumah Pak cik di felda paloh 3. Kampung padang pak Amat Pasir Puteh Kelantan, kami tinggalkan pada jam 11:00 pagi dengan berbagai pengalaman suka dan duka. Kenderaan pada hari tersebut telah mula sibuk, sampai di Kuala kerai berlaku kesesakan sedikit. Sewaktu hampir sampai diFelda tersebut tiba-tiba ada suatu bunyi yang datang dari arah bahagian bawah belakang kereta. Setelah diperiksa kami meneruskan perjalanan ke rumah pak cik dan bunyi semakin kuat seolah-olah macam sesuatu nak patah. Tiba di rumah pak cik suami mendapati 'bearing pecah' beliau telah menelefon abangnya supaya menghantar alat ganti. Mujurlah suami tahu memasangkan sendiri. Nak tak nak terpaksalah bermalam dirumah pak cik. Kebetulan pulak di rumah Pak cik, mak mertuanya juga sakit jadi orang kampung tersebut datang menziarahi tak putus-putus sehingga malam, jadi pergerakan tu macam terhad la jugak maklumlah kampung orang, kenalah jaga tatasusila.

Pada kesokkan harinya lebih kurang jam 7:30 pagi kami mula bersiap untuk bertolak pulang Ke Kuala Lumpur. Sebelum tu kami telah dihidangkan dengan sarapan pagi iaitu air milo, pulut cicah kelapa parut dan ikan masin..(alamak...! memang saya tak boleh makan pulut bukan sombong tapi untuk mengelakkan dari perasaan bersalah dan demi untuk menjaga hati mak cik, saya jamah jugalah hidangan tersebut. Selesai makan dan kami bermaaf-maafan ngan semua ahli keluarga pakcik. Dalam perjalanan tersebut anak-anak pulak mengalami sakit perut dan saya sendiri pun rasa tak selesa, sampai di suatu tempat menjual akok (sejenis makanan masyarakat kelantan) tiba-tiba anak yang nombor 2 pulak telah memuntah segala isi perutnya habis satu badan penuh ngan muntah terpaksalah saya beli air mineral disitu untuk membersihkan dirinya dan tempat duduknya. Tak pernah pulak mereka muntah dalam perjalanan sebelum ni. Saya hanya mampu berserah pada Allah supaya dipermudahkan perjalanan kami dan semoga anak-anak tak meragam.

Melihatkan keadaan anak-anak yang semakin gelisah dalam kenderaan, kami memutuskan untuk berhenti di sebuah stesen minyak petronas tak perasan pulak nama tempat tu.. suami sempatlah tidur sekejap dan anak-anak dapatlah regangkan segala otot-ototnya dan perasaan tensionnya akibat dari perjalanan yang agak jauh. Adalah dalam lebih kurang 30 minit kami berehat di situ, melihatkan kenderaan semakin bertambah melalui laluan tersebut dan masuk ke stesen minyak tersebut saya menyuruh suami supaya memulakan perjalanan semula. Maklumlah bila orang dah ramai, mulalah rasa tak selesa. Perjalanan diteruskan hinggalah ke Bentong kami berhenti sekali lagi untuk berehat, maklumlah perjalanan dalam waktu tengahari memang agak panas sket. Perjalanan diteruskan lagi dan akhirnya Alhamdulillah kami sekeluarga sampai di rumah dengan selamatnya pada jam 2:00 petang.

No comments: